Make your own free website on Tripod.com

Laman Utama

SRI Hira' | SMI Hira' | Hira' Shah Alam | Ma'had Tahfiz | Tadika Hira'

BULETIN EDISI

SIDANG REDAKSI

Penasihat Abd. Rahaim Md Isa
Ketua Pengarang Ayub Sidik
Penolong Pengarang Johari Said, Saiful Jamsyir Md. Hakim, Siti Khadijah Ali, Suraida Hanim Hassan, Hamilah Basiran

Email : bul_hira@yahoo.com

 

Artikel

Komunikasi Untuk Guru (Siri 2)


PERANAN KOMUNIKASI
  • Menjalin hubungan 

Peranan  komunikasi yang pertama ialah menjalin hubungan. Untuk menjadi guru yang dikasihi oleh murid-muridnya, seseorang itu perlu mempunyai kemahiran menghiburkan murid-muridnya. Antara kemahiran yang amat berguna untuk menghiburkan orang ialah :

  1. Kemahiran mengambil berat tentang diri orang itu. Antara kemahiran itu ialah pertama, kemahiran bertanya untuk mengetahui keperluannya. Kedua, kemahiran berkorban iaitu mendahulukan kepentingannya. Dan ketiga, kemahiran mengenalpasti dan memenuhi keperluan psikologinya.
  2. Kemahiran menjaga keselamatannya dari segi psikologi dan fizikal. Ramai orang yang tinggal di dalam rumah besar tahu bahawa dari segi fizikal mereka itu dalam keadaan selamat, tetapi batin mereka berasa tidak selamat. Jiwa mereka berasa resah, gelisah, tidak tenteram dan takut. Untuk membuat murid-murid berasa selamat, kemahiran yang diperlukan ialah kemahiran memberi keyakinan kepadanya bahawa dirinya adalah sentiasa penting.
  3. Kemahiran membuat orang lain berasa dirinya sangat dihargai. Kemahiran yang diperlukan untuk membuat orang itu yakin bahawa sesungguhnya dirinya dihargai ialah kemahiran menyatakan penghargaan dan sanjungan dengan menggunakan kata-kata mahupun perbuatan
  • Rangsangan

Peranan komunikasi yang kedua ialah rangsangan. Murid-murid memerlukan rangsangan fizikal seperti sentuhan, belaian dan rangsangan mental. Mereka juga memerlukan rangsangan emosi supaya mengalami perasaan seronok, suka, bahagia dan puas. Rangsangan emosi boleh diberi dengan menggunakan kemahiran berkata-kata secara positif. Kemahiran berbual-bual, memuji, menghibur dan bergurau adalah sangat perlu untuk memberi rangsangan emosi.

  • Estim-diri

Peranan komunikasi yang ketiga ialah estim-diri. Murid-murid memerlukan kemuliaan dan penghargaan. Dengan cara berkomunikasi mereka boleh merasa bahawa diri mereka diperlukan, dihargai dan penting kepada orang lain. Perasaan tersebut adalah asas kepada estim-diri yang sihat.

  • Berkongsi

Peranan komunikasi yang keempat ialah perkongsian. Sebagai manusia biasa kita perlu menambahkan lagi rasa kenikmatan yang kita alami dalam hidup, dan mengurangkan rasa kesengsaraan. Kita juga ingin berkongsi dengan orang lain segala tuah dan nasib baik yang kita dapat. Begitu halnya dengan nasib malang dan kedukaan yang menimpa kita.

TUJUAN KOMUNIKASI

  • Saling faham-memahami 

Guru dan murid berkomunikasi kerana ada beberapa tujuan yang hendak dicapai. Tujuan pertama ialah mereka hendak saling faham-memahami satu sama lain. Sebagai contoh, guru hendak memahami masalah murid-muridnya. Dia hendak mengenali siapa mereka, siapa diri mereka, apa yang mereka fikirkan, apa yang mereka rasakan dan macam-macam lagi maklumat berkenaan murid-muridnya.

Ada kalanya, guru terlupa kepada tujuan ini. Apabila mereka bercakap mereka sibuk bercakap berkenaan segala hal yang berkisar pada diri mereka sahaja. Mereka mahu diri mereka sahaja difahami oleh murid-murid yang mendengar mereka bercakap. Mereka tidak berminat untuk memahami murid-muridnya.

  • Menjalin hubungan

Tujuan kedua manusia berkomunikasi ialah kerana mereka mahu menjalin hubungan dengan manusia lain. Guru-guru yang memiliki kemahiran berkomunikasi pandai membuat murid-muridnya merasakan diri mereka dikasihi, dihargai dan dimuliakan.

  • Mempengaruhi

Manusia juga berkomunikasi kerana mereka hendak mempengaruhi fikiran, perasaan dan tingkah laku orang-orang lain. Sebagai contoh, seorang guru cuba menukar sikap, tabiat, pendapat dan tingkah laku murid-muridnya.

Bersambung di edisi September

 

2001 Laman Siber Hira'
Email Webmaster : iphira@lycos.com