Laman Utama

SRI Hira' | SMI Hira' | Hira' Shah Alam | Ma'had Tahfiz | Tadika Hira'

BULETIN EDISI

SIDANG REDAKSI

Penasihat Abd. Rahaim Md Isa
Ketua Pengarang Ayub Sidik
Penolong Pengarang Johari Said, Saiful Jamsyir Md. Hakim, Siti Khadijah Ali, Suraida Hanim Hassan, Hamilah Basiran
Email : bul_hira@yahoo.com
BULETIN HIRA' (Edisi Internet)

Julai 2001 (Rabiulakhir - Jamadilawal 1422)

MUHASABAH PENDIDIKAN HIRA’ – Di Mana Komitmen Anda?


‘Sesiapa yang sama antara dua harinya maka dia adalah rugi’. Ungkapan dinamik yang dituturkan oleh Baginda Rasulullah SAW ini mengajar kita agar sentiasa memiliki dinamika yang tinggi dalam setiap saat kehidupan kita. ‘Sama antara dua hari’ adalah ungkapan penilaian dan pengukuran pencapaian. Ia memerlukan kepada ‘celik ukuran’ untuk memastikan timbangan itu betul. 

Apalah nasib kehidupan kita, tatkala kita tidak dapat menilai apakah sama kehidupan semalam dengan hari ini. Apakah kerja-kerja kebaikan semalam sama dengan yang dikerjakan hari ini. Apakah tuntutan hablun  minallah dan hablun minannas kita jaga dengan sempurna? Untuk menjawab persoalan ini memerlukan komitmen yang tinggi daripada kita sendiri.

Sehubungan dengan itu, tanggal 30 Jun 2001 ini, genaplah enam bulan murid-murid samada dari tadika, sekolah rendah, menengah dan maahad tahfiz Hira’ mengharungi sesi persekolahan pada tahun 2001. Jika enam bulan itu dinisbahkan kepada bayi yang dilahirkan maka sudah pasti banyak perkembangan yang telah berlaku samada dari segi mental dan fizikal kepada bayi tersebut.

Rencana ini bertujuan untuk mengukur semula komitmen semua pihak terutamanya ibu bapa dalam mengharungi sistem pendidikan Hira’. Apakah yang dimaksudkan dengan komitmen? Sekurang-kurangnya terdapat dua perkataan yang mempunyai kaitan dengan makna komitmen iaitu janji dan tanggung jawab. Janji adalah perkataan yang mengungkapkan kesudian dan kesanggupan untuk melakukan dan melaksanakan sesuatu perkara. Manakala tanggung jawab pula adalah kewajipan untuk memikul suatu beban. Seseorang yang berani bertanggung jawab atas sesuatu perkara boleh dituntut, dipersalahkan, atau dipersoalkan jika ia terseleweng daripada melaksanakan tanggung jawab tersebut.

Jika ditinjau dari makna tersebut di atas, maka komitmen ibu bapa adalah janji untuk melaksanakan dan menjalankan segala syarat dan perjanjian yang ditentukan oleh pihak sekolah. Pengisytiharan dan pengakuan yang dibuat oleh ibu bapa ketika mengisi borang penerimaan kemasukan anak ke institusi pendidikan Hira’ hendaklah dilihat kembali. Tertunaikah segala bentuk pengisytiharan yang dibuat dengan pihak sekolah? Antara butiran pengisytiharan dengan pihak sekolah ialah  ibu bapa perlu memahami dan mengakui bahawa pendidikan di Hira’ adalah berteraskan pendidikan Islam. Persoalan keilmuan dan keimanan adalah tidak terpisah. Justeru itu ibu bapa hendaklah memahami sepenuhnya bahawa anak-anak mesti menjunjung tinggi ajaran-ajaran Islam sepanjang persekolahan di sekolah ini. Adalah mustahil ibu bapa dapat mendidik anak-anak tanpa bantuan guru-guru dan begitulah sebaliknya. Pendidikan di sekolah haruslah mempunyai kesinambungan di rumah umpamanya dalam soal menutup aurat. Hal ini supaya anak-anak tidak mengamalkan konsep ‘dualisme’ dalam kehidupan mereka. Di sini perumpamaan ‘bagai aur dengan tebing hendaklah diamalkan’ kerana proses pembelajaran adalah proses yang berterusan. 

Melalui pengisytiharan tersebut,  menjadi tanggung jawab ibu bapa juga ialah menjelaskan yuran bulanan sebelum atau pada 7  haribulan pada setiap bulan. Mutakhir ini dirasakan komitmen sebahagian ibu bapa dalam soal ini agak pudar. Malah ada yang mempunyai tunggakan yuran dari bulan Januari lagi. Perkara ini boleh memberi kesan yang buruk terhadap perjalanan sistem persekolahan secara keseluruhannya. Demikian juga komitmen terhadap program-program yang dianjurkan oleh pihak sekolah mahu pun PIBG. Akibatnya banyak program anjuran pihak sekolah tidak mendapat sambutan dan ini boleh melunturkan semangat sebahagian guru dari terus meningkatkan profesionalisma mereka. 

Di pihak guru pula, perkara yang sama hendaklah dilihat. Guru-guru juga mempunyai ikrar mereka dengan pihak sekolah. Di sekolah, pelajar-pelajar merupakan amanah yang diserahkan kepada mereka. Tugas guru tidak selesai hanya kerana mereka selesai menjalankan kerja–kerja pengajaran dan pembelajaran, merekod segala keputusan ujian dan peperiksaan dan sebagainya. Guru-guru hendaklah menjadi model utama dalam amalan kebajikan, dicontohi segala jejak langkahnya dan dituruti segala kelakuannya. Malah lebih jauh dari itu, guru-guru perlu memahami dan menghayati Falsafah Pendidikan Hira’ dan merealisasikan perkara itu dalam menjalankan tugas harian mereka. Tertunaikah segala ikrar yang dilafazkan pada setiap sambutan Hari Guru? Andakah guru-guru berusaha untuk  menjadi model yang baik dalam setiap aspek? Persoalan –persoalan ini hendaklah dijawab dengan hati yang  terbuka dan bermuhasabah. 

Kesimpulannya, dalam mengharungi sistem pendidikan yang sama-sama kita perjuangkan kita memerlukan kepada suatu bentuk pemuafakatan dalam bidang pendidikan. Permuafakatan ini hendaklah dilakukan oleh semua pihak baik ibu bapa, guru-guru, ahli-ahli lembaga mahu pun masyarakat yang mendukung sistem pendidikan Islam bersepadu.


 

© 2001 Laman Siber Hira'
Email Webmaster : iphira@lycos.com