Laman Utama

SRI Hira' | SMI Hira' | Hira' Shah Alam | Ma'had Tahfiz | Tadika Hira'

BULETIN EDISI

SIDANG REDAKSI

Penasihat Abd. Rahaim Md Isa
Ketua Pengarang Ayub Sidik
Penolong Pengarang Johari Said, Saiful Jamsyir Md. Hakim, Siti Khadijah Ali, Suraida Hanim Hassan, Hamilah Basiran
Email : bul_hira@yahoo.com

 

Artikel

Tips Mendidik Anak-Anak
("40 Kesilapan Mendidik Anak" - Dr. Hassan Hj. Mohd Ali)


TIPS 6 : TIDAK MEMBEZA-BEZAKAN KASIH SAYANG TERHADAP ANAK-ANAK

Agama tidak membenarkan ibu bapa membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak-anak. Ibu bapa bertanggungjawab mendidik dan memberi sesuatu kepada setiap anak dengan adil tanpa membezakan antara satu sama lain. 

Terdapat ramai ibu bapa yang suka membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak-anak. Perbezaan kasih sayang ini biasanya dibuat atas dasar kecantikan paras, kepandaian dan kepintaran, kesempurnaan fizikal dan mental, kerajinan dan pelbagai kelebihan lain yang mungkin tidak ada pada diri anak-anak yang lain. 

Anak-anak yang menjadi mangsa perbezaan kasih sayang biasanya berasa kehilangan tempat berpaut, rasa tidak diperlukan, sentiasa memendam rasa dan sering memikirkan tentang kekurangan diri di samping tertanya-tanya sebab-sebab yang membuatkan ibu bapa tidak menyayangi mereka. Sebaliknya anak-anak yang mendapat kasih sayang ibu bapa akan merasa diri mereka disayangi. 

Untuk mengelakkan sebarang kesan negatif yang mungkin timbul hasil daripada perbezaan layanan antara anak-anak, berikut diperturunkan langkah-langkah positif yang perlu diambil :

  • Fahami dan hayati bahawa perbuatan membeza-bezakan kasih sayang di antara anak-anak adalah ditegah oleh agama.
     

  • Belajar menyelami lubuk hati anak-anak. Mereka juga seperti anda mempunyai perasaan, berjiwa halus, emosi, bisikan kalbu, dan curahan nurani. Sama seperti kita, mereka juga ada perasaan marah, ada rasa harga diri, ada perasaan merajuk, ada desakan untuk dibelai, ada rasa terguris hati, ada menyimpan perasaan dan sebagainya. Oleh itu amat penting bagi kedua ibu bapa berlaku adil bukan sahaja dari segi penyaluran kebendaan malah yang lebih penting adil dalam menjaga hati dan perasaan anak-anak tersebut.
     

  • Yakini benar-benar bahawa setiap anak anda adalah unik. Yang cantik adalah unik dan yang hodoh juga adalah unik. Yang pandai adalah unik dan yang kurang menyinar pun adalah unik. Belai dan bangunkanlah ciri-ciri keunikan anak-anak anda itu. 
     

  • Ibu bapa kebanyakannya mampu melihat potensi lahiriah sahaja. Banyak lagi potensi yang tidak sedia terjelma mempunyai ribuan kemungkinan akan terserlah pada suatu masa nanti. Hanya kita sebagai ibu bapa yang mungkin kurang bijak untuk membantu menyerlahkan potensi anak-anak itu. 
     

  • Ingatlah bahawa sebarang kesilapan walau sekecil manapun akan mempunyai kesan dan padah yang tidak mungkin dapat dibayangkan. Sesungguhnya anda melakukan sesuatu kezaliman seandainya ini berlaku ke atas anak anda. Penyesalan pada hari muka tidak ada ertinya lagi. 

Klik untuk TIPS 7

 

© 2001 Laman Siber Hira'
Email Webmaster : iphira@lycos.com