Make your own free website on Tripod.com

Laman Utama

SRI Hira' | SMI Hira' | Hira' Shah Alam | Ma'had Tahfiz | Tadika Hira'

BULETIN EDISI

SIDANG REDAKSI

Penasihat Abd. Rahaim Md Isa
Ketua Pengarang Ayub Sidik
Penolong Pengarang Johari Said, Saiful Jamsyir Md. Hakim, Siti Khadijah Ali, Suraida Hanim Hassan, Hamilah Basiran
Email : bul_hira@yahoo.com

 

Artikel

Ibubapa Mithali (Siri 2)


3. MENGAQIKAHKAN ANAK

Tentang aqikah ini diriwayatkan dalam hadis, maksudnya :

Dari Samurah, sesungguhnya Rasulullah telah bersabda : 

“ Setiap bayi tergadai pada aqikahnya, disembelih pada hari yang ketujuh, dan pada hari itu pula dicukurlah ia dan diberi nama.” (HR Tirmizi, Nasaei, dan Ibnu Majah, dari Hasan)

Aqikah  adalah menyembelih kambing untuk menyatakan rasa syukur kepada Allah atas lahirnya seorang bayi. Dalam aqikah ini, yang disembelih adalah kambing, bukan ayam atau lembu atau unta dan sebagainya. Bagi bayi lelaki aqikahnya dua ekor kambing dan bagi bayi perempuan seekor kambing. Hal ini berdasarkan keterangan Aisyah sebagai berikut :

“ Sesungguhnya Rasulullah menyuruh mereka ( para sahabat ) mengaqikah bayi lelaki dengan dua ekor kambing setara dan bayi perempuan dengan seekor kambing.”

Di dalam riwayat Ahmad dan Tarmizi disebutkan, bermaksud :

Dari Ummu Kurzin Al Ka’biyyah, bahawa ia pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang aqikah. Sabdanya, 

“ Untuk bayi lelaki dua ekor kambing kibas dan untuk bayi perempuan seekor kambing kibas dan tidaklah merugikan kamu yang jantan atau yang betina.” ( HR Imam Ahmad dan Tirmizi )

Hadis di atas menyatakan secara jelas bahawa kambing untuk aqikah boleh jantan, boleh betina. Tentang berapa umur binatang tersebut, tidak ada perinciannya lebih lanjut dari Rasulullah. Hal ini berbeza dengan kambing yang disembelih untuk Hari Raya Qurban, umurnya jelas, ciri dan keadaannya pun jelas, iaitu kambing harus berumur setahun ke atas, tidak kurus, tidak pincang, tidak cacat matanya, tetapi harus gemuk dan sihat. Kerana itu barangkali timbul pertanyaan, lalu bagaimana batas umur kambing untuk aqikah ini?

Bagaimana ciri dan keadaannya? Apakah syarat-syarat kambing aqikah ini boleh kita samakan dengan kambing untuk Hari Raya Qurban? Dalam hal ini terserah kepada kita sendiri. Tergantung kepada kemampuan kita, boleh dengan kambing sama seperti kambing untuk Hari Raya Qurban atau kurang dari itu. Yang penting ibu bapa dapat mengaqikahkan bayinya pada hari ketujuh dari kelahiran bayi tersebut.

4. MENYUSUI

Secara fitrah, setelah bayi lahir ia memerlukan makanan. Makanan paling sesuai bagi bayi ialah air susu ibu kandungnya. Mengenai ini Allah telah berfirman, maksudnya :

“ Para ibu bapa hendaklah menyusui anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan.” ( Al Baqarah : 223 )

Ibnu Katsir dalam menafsirkan ayat di atas, mengatakan : 

“ Ayat ini memberi petunjuk kepada para ibu agar menyusui anak-anak mereka dengan sepenuhnya atau penyusuan sempurna, iaitu selama dua tahun. Dan selebih dari dua tahun tidaklah dikatakan menyusui lagi.” 

Ayat di atas juga memberi pengajaran bahawa para ibu tidak boleh merasa keberatan menyusui bayinya dengan alasan yang tidak sepatutnya, seperti :

a. Menjaga kecantikannya

b. Mengekalkan bentuk tubuhnya

c. Mengejar kerjaya

Jika seseorang ibu tidak mahu menyusui bayinya atas alasan kecantikan, maka hal ini bertentangan dengan petunjuk Allah di atas. Bukankah ayah dari bayi yang disusui nya menghendaki isteri mengasuh anaknya dengan baik? Salah satu bentuk asuhan itu adalah menyusui bayinya. Seseorang ibu yang lebih menyintai kecantikan tubuhnya daripada menyusui bayinya adalah petanda kelainan mental dalam bersikap kepada bayinya. Justeru itu, seseorang ibu yang tidak mahu menyusui bayinya beerti ia lebih taat kepada bisikan hawa nafsunya daripada mengikuti petunjuk Allah. 

Bersambung di edisi Ogos

 

© 2001 Laman Siber Hira'
Email Webmaster : iphira@lycos.com