Laman Utama

SRI Hira' | SMI Hira' | Hira' Shah Alam | Ma'had Tahfiz | Tadika Hira'

BULETIN EDISI

SIDANG REDAKSI

Penasihat Abd. Rahaim Md Isa
Ketua Pengarang Ayub Sidik
Penolong Pengarang Johari Said, Saiful Jamsyir Md. Hakim, Siti Khadijah Ali, Suraida Hanim Hassan, Hamilah Basiran
Email : bul_hira@yahoo.com

 

Artikel

Komunikasi Untuk Guru (Siri 1)


APA ITU KOMUNIKASI ?

Dalam konteks sekolah, berkomunikasi ialah proses bagaimana guru berkongsi pengalaman dengan murid-muridnya dan begitu juga sebaliknya. Setiap guru mempunyai pengalaman dan pengetahuan. Apabila guru menyampaikan pengalaman dan pengetahuannya kepada murid-muridnya, itu namanya berkomunikasi. Dalam proses guru dan murid-murid bertukar-tukar pengalaman dan pengetahuan, mereka mencipta makna antara satu sama lain. Di dalam komunikasi di sekolah, baik pihak guru mahupun pihak murid, masing-masing mempunyai pengalaman dan pengetahuan. Apabila mereka berkomunikasi, mereka saling menyatakan pengalaman dan pengetahuan masing-masing dan dengan cara itu mereka mendapat makna daripada pertukaran tersebut.

Apabila seseorang itu ingin menjadi guru yang berkesan, popular, disukai ramai dan disanjung oleh anak-anak muridnya, salah satu kemahiran yang mesti ada pada diri guru itu ialah kemahiran berkomunikasi. Ramai orang fasih dan petah bercakap. Tetapi makin banyak mereka bercakap, makin banyak mereka menyakitkan orang-orang yang mendengar apa yang mereka percakapkan. Ramai orang menyangka, asal mereka pandai bercakap, mereka tentu sudah berkomunikasi. Ini tidak benar. Bercakap ialah sejenis bakat. Ada orang dari kecil-kecil sudah petah bercakap. Tetapi komunikasi bukan setakat bercakap. Tanpa bercakap pun kita boleh berkomunikasi. Sebagai contoh, perbuatan diam ialah sejenis komunikasi. Pakaian yang kita pakai pun adalah salah satu cara kita berkomunikasi.

  • Mesej

Mesej ialah istilah lain untuk isi atau kandungan komunikasi. Ada mesej lisan dan mesej yang bukan lisan. Mesej lisan ialah apa-apa komunikasi yang diucapkan dengan menggunakan kata-kata. Mesej bukan lisan ialah apa-apa komunikasi yang kita buat tapi tidak melalui kata-kata. Sebagai contoh, komunikasi bukan lisan ialah cara kita berdiri, roman muka, gerak-geri tangan, pakaian dan lain-lain lagi yang semuanya membawa makna.

  • Saluran

Saluran komunikasi ialah apa-apa cara yang kita gunakan untuk menghantar mesej seperti suara, telefon, tulisan dan lain-lain. Apabila kita berkomunikasi satu dengan satu, iaitu secara bertentangan mata, saluran yang kita gunakan ialah suara, telinga, mata dan deria sentuh.

  • Gangguan

Gangguan komunikasi ialah apa-apa yang merosakkan maklumat yang kita sampaikan apabila berkomunikasi. Antara gangguan-gangguan itu ialah kebisingan, bau yang kuat, suhu yang tinggi, pertuturan yang tidak jelas, kehadiran orang-orang lain dan macam-macam lagi.

  • Mendengar

Apabila berkomunikasi secara lisan, baik penutur mahupun pendengar, mereka sama-sama mendengar. Apabila mendengar, kita melakukan empat aktiviti iaitu memberi tumpuan, mendengar, memahami dan mengingat.

  • Umpan balik

Istilah umpan balik ialah feedback iaitu apa yang kita dapat balik akibat apa yang kita buat. Umpan balik mempunyai peranan membuat kita meneruskan apa yang kita buat ataupun menamatkannya.

  • Masa

Faktor variabel yang paling besar pengaruhnya pada komunikasi ialah masa. Komunikasi sentiasa berlaku pada masa yang tertentu dan masa itu mempengaruhi cara-cara bagaimana kita berkomunikasi.

Bersambung di edisi Ogos

 

© 2001 Laman Siber Hira'
Email Webmaster : iphira@lycos.com