Komunikasi
Untuk Guru (Siri 2)
PERANAN
KOMUNIKASI
Peranan
komunikasi yang pertama ialah menjalin
hubungan. Untuk menjadi guru yang dikasihi oleh
murid-muridnya, seseorang itu perlu mempunyai
kemahiran menghiburkan murid-muridnya. Antara
kemahiran yang amat berguna untuk menghiburkan
orang ialah :
- Kemahiran
mengambil berat tentang diri orang itu.
Antara kemahiran itu ialah pertama, kemahiran
bertanya untuk mengetahui keperluannya. Kedua,
kemahiran berkorban iaitu mendahulukan
kepentingannya. Dan ketiga, kemahiran
mengenalpasti dan memenuhi keperluan
psikologinya.
- Kemahiran
menjaga keselamatannya dari segi psikologi dan
fizikal.
Ramai
orang yang tinggal di dalam rumah besar tahu
bahawa dari segi fizikal mereka itu dalam
keadaan selamat, tetapi batin mereka berasa
tidak selamat. Jiwa mereka berasa resah,
gelisah, tidak tenteram dan takut. Untuk
membuat murid-murid berasa selamat, kemahiran
yang diperlukan ialah kemahiran memberi
keyakinan kepadanya bahawa dirinya adalah
sentiasa penting.
- Kemahiran
membuat orang lain berasa dirinya sangat
dihargai.
Kemahiran
yang diperlukan untuk membuat orang itu yakin
bahawa sesungguhnya dirinya dihargai ialah
kemahiran menyatakan penghargaan dan sanjungan
dengan menggunakan kata-kata mahupun perbuatan
Peranan
komunikasi yang kedua ialah rangsangan.
Murid-murid memerlukan rangsangan fizikal seperti
sentuhan, belaian dan rangsangan mental. Mereka
juga memerlukan rangsangan emosi supaya mengalami
perasaan seronok, suka, bahagia dan puas.
Rangsangan emosi boleh diberi dengan menggunakan
kemahiran berkata-kata secara positif. Kemahiran
berbual-bual, memuji, menghibur dan bergurau
adalah sangat perlu untuk memberi rangsangan
emosi.
Peranan
komunikasi yang ketiga ialah estim-diri.
Murid-murid memerlukan kemuliaan dan penghargaan.
Dengan cara berkomunikasi mereka boleh merasa
bahawa diri mereka diperlukan, dihargai dan
penting kepada orang lain. Perasaan tersebut
adalah asas kepada estim-diri yang sihat.
Peranan
komunikasi yang keempat ialah perkongsian. Sebagai
manusia biasa kita perlu menambahkan lagi rasa
kenikmatan yang kita alami dalam hidup, dan
mengurangkan rasa kesengsaraan. Kita juga ingin
berkongsi dengan orang lain segala tuah dan nasib
baik yang kita dapat. Begitu halnya dengan nasib
malang dan kedukaan yang menimpa kita.
TUJUAN
KOMUNIKASI
Guru
dan murid berkomunikasi kerana ada beberapa
tujuan yang hendak dicapai. Tujuan pertama ialah
mereka hendak saling faham-memahami satu sama
lain. Sebagai contoh, guru hendak memahami
masalah murid-muridnya. Dia hendak mengenali
siapa mereka, siapa diri mereka, apa yang mereka
fikirkan, apa yang mereka rasakan dan
macam-macam lagi maklumat berkenaan
murid-muridnya.
Ada
kalanya, guru terlupa kepada tujuan ini. Apabila
mereka bercakap mereka sibuk bercakap berkenaan
segala hal yang berkisar pada diri mereka
sahaja. Mereka mahu diri mereka sahaja difahami
oleh murid-murid yang mendengar mereka bercakap.
Mereka tidak berminat untuk memahami
murid-muridnya.
Tujuan
kedua manusia berkomunikasi ialah kerana mereka
mahu menjalin hubungan dengan manusia lain.
Guru-guru yang memiliki kemahiran berkomunikasi
pandai membuat murid-muridnya merasakan diri
mereka dikasihi, dihargai dan dimuliakan.
Manusia
juga berkomunikasi kerana mereka hendak
mempengaruhi fikiran, perasaan dan tingkah laku
orang-orang lain. Sebagai contoh, seorang guru
cuba menukar sikap, tabiat, pendapat dan tingkah
laku murid-muridnya.
Bersambung
di edisi September
|