Laman Utama

SRI Hira' | SMI Hira' | Hira' Shah Alam | Ma'had Tahfiz | Tadika Hira'

BULETIN EDISI

SIDANG REDAKSI

Penasihat Abd. Rahaim Md Isa
Ketua Pengarang Ayub Sidik
Penolong Pengarang Johari Said, Saiful Jamsyir Md. Hakim, Siti Khadijah Ali, Suraida Hanim Hassan, Hamilah Basiran
Email : bul_hira@yahoo.com
BULETIN HIRA' (Edisi Internet)

Jun 2001 (Rabiulawal - Rabiulakhir 1422)

RASULULLAH SEBAGAI MODEL IKUTAN


Rasulullah S.A.W telah dibangkitkan oleh Allah untuk memimpin umat manusia di dunia ini ke jalan yang selamat dan bahagia di dunia dan di akhirat. Baginda S.A.W adalah rahmat dari Allah S.W.T yang tidak ternilai harganya kepada alam semesta ini, sebagaimana jelas dari firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Dan tidaklah Kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam”. ( Al Anbiya’: 107 )

Sebagai seorang rasul yang diutuskan, darjat ketinggiannya mengatasi pemimpin-pemimpin yang lain. Baginda bersifat maksum iaitu terpelihara daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Maka kerana itu, arah dan tujuan yang dibawanya untuk seluruh umat manusia ini adalah benar dan terjamin. Baginda memimpin umatnya ke jalan yang diredai Allah S.W.T iaitu agama Islam. Kini Baginda S.A.W telah sudah tidak ada lagi di dunia ini, tetapi umatnya tetap dijamin tidak akan sesat selama mana mereka berpegang dengan pusaka tinggalannya iaitu al Quran dan as Sunnah. 

Dalam menyampaikan ajaran dan perintah-perintah dari Allah, Baginda juga memperlihatkan contoh-contoh teladan untuk diikuti oleh umatnya. Firman Allah yang bermaksud :

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang ) ( Al Ahzab : 21 )

Dalam kehidupan berumah tangga, Rasulullah S.A.W telah memperlihatkan suatu teladan yang baik yang boleh diikuti oleh sesorang suami. Rasulullah S.A.W amat bertimbang rasa dan bersedia membantu keluarganya. Banyak kerja yang dilakukan dengan tangan sendiri, seperti menjahit pakaian, memerah susu kambing, dan apabila makan Baginda makan apa-apa makanan yang sedia ada sahaja. Rasulullah S.A.W sangat marah kepada suami yang memukul isterinya sebagaimana memukul hamba abdi. Rasulullah S.A.W juga menunjukkan teladan yang baik khususnya kepada mereka yang mempunyai isteri lebih dari seorang. Baginda tidak sekali-kali bersikap pilih kasih dalam layanan kasih sayang antara mereka. Masa dan giliran  mereka dibahagikan dengan adil serta cukup rapi sekalipun Baginda sedang sakit. 

Dalam masalah hubungan sesama jiran, Rasulullah S.A.W  melarang seseorang Islam mencetuskan rasa kurang baik sesama jiran. Dalam sebuah hadis, Baginda bersabda yang bermaksud :

“Tidak akan masuk syurga seseorang yang jirannya tidak merasa selamat dari kejahatannya”. ( Riwayat Muslim )

Dalam sebuah hadis yang lain Baginda telah bersabda yang bermaksud :

“Tidak beriman dengan aku seseorang yang tidur dalam keadaan kenyang sedangkan dia tahu yang jirannya dalam kelaparan”.

Rasulullah S.A.W juga bersifat pemaaf. Contoh ini dapat dilihat dalam satu peristiwa di mana Rasulullah talah diancam oleh seorang musuh yang telah menghunus pedang kepada Baginda sambil bertanya siapakah yang akan menyelamatkannya, lalu dijawab Allah. Serentak dengan itu, pedang itupun jatuh ke bumi lalu diambil oleh Rasulullah sambil menghunus kepada musuhnya itu. Baginda bertanya siapakah yang boleh menyelamatkannya. Ternyata tiada siapa yang boleh menyelamatkannya lagi, namun Rasulullah telah melepaskannya pergi walaupun dia tidak mahu memeluk Islam.

Rasulullah S.A.W juga merupakan seorang yang amanah. Sejak kecil lagi, Baginda digelar ‘Al Amin’ di kalangan orang-orang Makkah. Umat Islam adalah dituntut oleh agamanya supaya menjadi orang yang beramanah yang dapat memikul tanggungjawab yang diserah kepadanya dengan sebaik-baiknya. Isteri adalah amanah yang diserahkan kepada suami; anak-anak adalah amanah kepada ibu bapa, murid-murid adalah diamanahkan kepada guru, malah semua manusia ada amanah yang mesti ditunaikannya. 

Demikianlah beberapa sifat Rasulullah SAW yang dapat kita paparkan di sini dalam ruangan yang terbatas. Kesimpulannya jika kita ingin maju kita harus melihat ke belakang iaitu dengan melihat sejarah Rasulullah dan generasi sahabat yang begitu gigih dalam memperjuangkan Islam. Orang-orang barat dan Kristian maju kerana meninggalkan ajaran agama mereka yang ortodok manakala umat Islam pula mundur dan ketinggalan kerana meminggirkan ajaran Islam yang syumul, komprehensif, dan progresif.


 

© 2001 Laman Siber Hira'
Email Webmaster : iphira@lycos.com