|
|
SISTEM
PENDIDIKAN
HIRA' |
Pendahuluan |
Sistem pendidikan
Hira’ telah mula dilaksanakan dengan tertubuhnya
Sekolah Rendah Islam Hira’ pada tahun 1985.
Bermula dengan hanya 35 orang murid, SRI Hira’
telah berkembang dengan pesatnya dan pada masa
kini (1997) jumlah penuntut dalam Sistem
Pendidikan Hira’ adalah seramai 1213 orang iaitu
1008 di sekolah rendah, 198 di sekolah menengah
dan 7 di Maahad Tahfiz. Pada tahun ini juga buat
pertama kalinya Pendidikan Hira’ terus
berkembang dengan mula mengendalikan tadika.
Usaha-usaha ini memberi ruang kepada masyarakat
setempat memilih sistem pendidikan yang bersepadu
dan sama-sama mendokong cita-cita, aspirasi dan
falsafah pendidikan Hira’. Walaupun struktur
sistem pendidikan bersifat komersial tetapi ianya
tidak bermotifkan keuntungan, ia lebih kepada
suatu perkhidmatan kepada masyarakat setempat.
|
Matlamat |
Matlamat
pendidikan Hira’ adalah untuk memperkembangkan
potensi individu secara menyeluruh, seimbang dan
bersepadu meliputi aspek-aspek intelek, rohani emosi
dan jasmani bagi melahirkan insan soleh yang dapat
menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di atas
muka bumi.
Bagi mencapai
matlamat di atas, pendidikan di Hira’ akan
memberikan tumpuan kepada perkembangan setiap
individu pelajar dari peringkat tadika, rendah
hingga menengah dan seterusnya ke peringkat Kolej
dan Universiti. Teras kepada sistem pendidikan di
Hira' adalah proses pendidikan secara berterusan.
|
Objektif
|
Pendidikan di Hira'
akan memberi tumpuan kepada perkembangan setiap
individu pelajar dari peringkat tadika, rendah
hingga menengah dan seterusnya ke peringkat kolej
dan universiti. Tumpuan khusus akan diberikan
mengikut peringkat pelajar di dalam satu proses
pendidikan yang berterusan.
Usaha-usaha ke arah
mencapai objektif tersebut akan dijalankan
berdasarkan prinsip-prinsip berikut:-
- Mempelajari,
memahami dan mengamalkan isi kandungan
Al-Quran dan As-Sunnah.
- Memberi
penekanan terhadap kesucian aqidah Islamiyah,
ibadah yang sahih dan akhlaq yang terpuji.
- Memupuk dan
membentuk minda yang cergas, fizikal yang
cergas dan emosi yang terkawal.
- Memupuk sikap
yang positif, berdikari dan percaya kepada
kemampuan diri sendiri.
- Menyediakan
pelajar yang dapat menguasai ilmu duniawi dan
ukhrawi berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.
- Membentuk
pelajar yang dapat menguasai sains dan
teknologi maklumat.
- Membentuk
pelajar yang berkemampuan menguasai Bahas
Arab, Inggeris dan Melayu dalam kehidupan.
- Memupuk sifat
cinta terhadap Allah, RAsulullah, para
sahabat, ibubapa, rakan-rakan, para pejuang
Islam, bangsa dan negara.
- Melahirkan
pelajar yang dapat memahami dan menghayati
sejarah Islam, bangsa dan negara.
|
Falsafah |
Pendidikan di Hira'
adalah pendidikan yang berteraskan Tauhid
bermatlamat untuk membina, membentuk dan
melahirkan insan Rabbani yang beriman, berilmu dan
berakhlak serta berkemampuan membentuk kehidupan
diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia
sebagaimana yang dituntut oleh Al-Quran dan
As-Sunnah melalui sistem pendidikan yang terkini,
seimbang, bersepadu, menyeluruh dan berterusan.
|
|
|
|