Laman Utama

SRI Hira' | SMI Hira' | Hira' Shah Alam | Ma'had Tahfiz | Tadika Hira'

BULETIN EDISI

SIDANG REDAKSI

Penasihat Abd. Rahaim Md Isa
Ketua Pengarang Ayub Sidik
Penolong Pengarang Johari Said, Saiful Jamsyir Md. Hakim, Siti Khadijah Ali, Suraida Hanim Hassan, Hamilah Basiran
Email : bul_hira@yahoo.com
BULETIN HIRA' (Edisi Internet)

Mei 2001 (Safar - Rabiulawal 1422)

KERJAYA GURU : Suatu Tugas Mulia


Setiap tahun, pada tanggal 16 hb. Mei, Hari Guru akan disambut di seluruh negara. Pelbagai perayaan atau aktiviti akan dilakukan bagi mengenang jasa guru.

Guru merupakan satu gelaran yang paling sukar untuk diluputkan. Kalau seseorang itu pernah menjadi seorang guru, sampai akhir hayatnya gelaran itu tetap diperkatakan, walaupun dia bekerja sebagai pegawai atau wakil rakyat dan sebagainya.

Islam memartabatkan kerjaya guru sebagai profesion yang sangat mulia. Tugas guru adalah umpama tugas ulama yang menjadi pewaris para anbiya. Guru juga boleh diumpamakan seperti lilin yang membakar diri sendiri untuk menerangi orang lain. Sabda nabi s.a.w yang bermaksud, “ Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara ; iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, dan anak soleh yang mendoakan untuknya.” Ketika Rasulullah s.a.w menghantar Muaz ke Yaman untuk menyampaikan risalah Islam, baginda berpesan kepadanya dengan bersabda, maksudnya, “ Andaikata Allah s.w.t memberikan hidayat kepada seorang hasil daripada usahamu, adalah lebih baik bagimu dari dunia dan seisinya.”

Di sekolah, guru memainkan peranan sebagai ibu bapa walaupun tidak secara keseluruhannya. Di zaman moden ini tugas guru semakin mencabar dan pelbagai. Di samping menyampaikan ilmu, guru bertindak sebagai pendidik, membentuk pelajar-pelajar supaya mempunyai nilai-nilai murni, berdisiplin dan berbudi bahasa. Adakalanya guru terpaksa menjadi hakim untuk membicarakan sebarang kes disiplin pelajar. Malah ada masanya guru terpaksa bertindak sebagai pakar psikitri, kerani dan jurutaip. Jika berlaku kecemasan di kalangan pelajar-pelajar, guru yang mempunyai kereta terpaksa menjadi ambulan.

Guru juga menjadi model utama dalam amalan kebajikan, dicontohi segala jejak langkahnya dan dituruti segala kelakuannya. Sabda nabi s.a.w bermaksud, “ Orang yang menunjuk ke jalan kebaikan sama seperti mengerjakannya.”

Kesimpulannya peranan guru wajar diberi kerjasama oleh ibu bapa dan masyarakat. Hal ini terutamanya yang berkaitan dengan akhlak, adab-adab dan disiplin, permainan video serta penggunaan internet tanpa kawalan oleh pelajar dan remaja. Firman Allah yang bermaksud, “ Siapakah yang lebih baik ucapannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan berbuat kebajikan.” [ Fusilat : 32 ]


 

© 2001 Laman Siber Hira'
Email Webmaster : iphira@lycos.com